TUHAN BUKAN MANUSIA

RM20.00

“Lagipun, apalah bezanya antara mereka yang tidak mempercayai Tuhan dengan kami yang mempercayai Tuhan apabila Tuhan itu dipersalahkan, dituduh tidak adil kerana perkongsian rezekiNya yang tidak menguntungkan, mengecamNya sebagai buta kerana tidak melihat kesengsaraan yang dihadapi dan meninggalkanNya daripada hidup di dalam hati dan ingatan. Engkau tidak mempercayai kewujudan Tuhan tetapi Tuhan tetap mempercayai kewujudanmu kerana engkau itu sendiri tanda kewujudan Tuhan”.

 

PROLOG TUHAN BUKAN MANUSIA

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.’’ Surah Qaf ayat 16.

Apa yang bakal kusampaikan selepas ini mungkin tidak akan dapat menarik kepercayaan kalian akan isi dan cerita yang telah kunukilkan sepanjang keberadaanku di sini. Tempat di mana aku mempelajari erti kehidupan dan cuba bereksperimentasi dalam mengenal erti kebahagiaan dan cinta. Tempat di mana aku mengetahui bahawa setiap manusia itu mempunyai magis yang dianugerahkan oleh Tuhan. Di tempat ini juga, aku mengenali cinta yang mekar subur dari titisan air mata seorang wanita yang tidak diminta nasibnya sedemikian sehingga aku terfikir apakah Tuhan itu benar-benar wujud; kerana kalau benar Tuhan itu wujud, sudah tentu tidak akan dibiarkan wanita itu merasai sesuatu yang kunamakan penderitaan.

Barangkali aku terlalu naif atau emosional kerana tidak mungkin Tuhan membiarkan sesuatu itu berlaku tanpa sebarang pengajaran atau balasan di kemudian hari. Seperti kata Rumi, setiap perkataan yang dibicarakan mahupun perbuatan yang ditunjukkan akan sentiasa berlegar di antara langit dan bumi dan sesungguhnya Tuhan itu tahu tetapi menunggu.

Rumi. Kata-katanya tidak pernah gagal untuk menembusi hati manusia; ibarat air sungai yang mengalir tanpa henti hingga melunakkan batu yang ada di sepanjang alirannya. Disebabkan itu jugalah aku mengambil inisiatif untuk menulis cerita ini agar ia tidak ditimbus sekali bersama tubuh-tubuh kami ketika ini.

Jika penulisan ini telah sampai ke pengetahuan kalian yang membaca dan tidak mengikuti sekali apa yang terjadi di tempat tersebut, bererti lelaki bernama Hafiz Yahya itu telah menyempurnakan amanatku dengan baik dan sesungguhnya beliau memang seorang yang boleh diharapkan. Aku percaya tidak ada satu pun ayat mahupun aksara yang ditukar kerana sepanjang pengetahuanku yang terbatas ini, dia seorang yang buta huruf.

Dalam penulisan ini juga kalian tidak akan temukan siapakah nama sebenar penulis ini meskipun hal ini sedikit sebanyak akan menggoyahkan keyakinan kalian akan kesahihan cerita dalam tulisan ini. Bukan itu niat sebenarku kerana aku sudah berjanji kepada diriku sendiri untuk menuruti semua nasihat Rumi dan salah satu nasihatnya ialah meruntuhkan egoisku yang mahukan pujian, sanjungan dan perhatian manusia agar tidak dibina rasa sombong dan angkuh. Rasa sombong dan angkuh itu menurut Rumi, adalah dosa pertama yang dicipta oleh Iblis untuk menderhakai Tuhan. Tambahnya lagi, kelaparanku dalam mencari perhatian dan pujian manusia itu telah membuatkan aku buta, sesat dan akhirnya berada di sini untuk bertemu dengannya.

Maafkan aku kerana telah banyak kali membicarakan nama tersebut tanpa pengenalan terlebih dahulu.

Rumi.

Kali pertama perkataan rumi itu wujud dalam hidup ialah apabila ia digunakan sebagai alternatif kepada tulisan jawi. Tulisan rumi merangkumi dua puluh enam huruf seperti yang sedang digunakan dalam novel ini.

Apabila semakin meningkat dewasa, takdir membawa aku untuk mengetahui bahawa rumi bukanlah sekadar tulisan tetapi ia merujuk kepada seorang manusia yang telah membawa perubahan besar dalam agama Islam terutama dalam aliran falsafah dan tasawuf. Apa yang dapat disimpulkan ialah Rumi bertanggungjawab menjenamakan imej agama Islam dengan pendekatan yang lembut yakni seni dan mengaitkannya dengan cinta.

Tidak ada siapa yang dapat memahami cinta lebih daripada Rumi. Mungkin agak keterlaluan tetapi itulah dia di mataku. Walaupun Rumi sudah lama meninggal dunia tetapi kehadirannya dapat dirasai hingga kini dan dia hadir di saat aku berjalan dalam kegelapan mencari erti kehidupan, definisi kebahagiaan dan makna cinta.

Sebab itu jangan menyangka kewujudan seorang manusia tidak berguna di muka bumi ini. Mungkin tidak sekarang tetapi tidak ada satu yang diciptakan oleh Sang Pencipta tanpa sebarang tujuan. Mungkin kesannya tidak nampak kepada ahli terdekat tetapi ia boleh merentasi sempadan masa dan generasi. Jika kewujudan seorang manusia yang bernama Rumi itu hanya mempunyai satu tujuan maka tujuan itu tidak lain untuk memimpin aku mengerti maksud kehidupan dan cinta.

Dan beginilah beliau memimpin aku untuk mencari maksud yang dicari.

5 in stock

Category: Tags: , , Product ID: 16688

Additional information

Weight 0.170 kg

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “TUHAN BUKAN MANUSIA”

Your email address will not be published. Required fields are marked *